Apakah niat puasa qadha'?
Niat puasa qada' adalah: “Sahaja aku puasa qadha' esok hari kerana Allah S.W.T.”
Wanita yang bersalin di bulan Ramadan, bagaimanakah harus dia membayar balik puasanya?
Wanita yang bersalin di Ramadan atau dalam keadaan nifas, maka dia tidak boleh berpuasa, sama seperti wanita yang datang haid. Dia wajib qadak pada bulan yang lain, tetapi tidak perlu bayar fidyah.
Bolehkah seseorang itu puasa enam dan berniat sekali qadha' puasa Ramadan?
Ulama berselisih pendapat tentang qadha puasa Ramadan dan puasa enam, mana satukah yang perlu didahulukan. Ada ulama berpendapat bahawa wajib qadha dahulu sebelum puasa enam, kerana qadha adalah wajib dan puasa enam adalah sunat, dan wajib perlu didahulukan atas sunat.
Ulama lain pula berpendapat bahawa boleh puasa enam dahulu sebelum puasa qadha. Untuk jalan keluar, sekiranya seseorang itu mampu, hendaklah dia qadha puasanya dahulu sebelum puasa enam. Tetapi jika tidak mampu, maka boleh puasa enam dahulu.
Tetapi tidak dibolehkan niat puasa enam dan qadha sekali gus kerana wajib dan sunat tidak boleh disatukan dalam satu ibadat.
4.
Bagaimanakah pembayaran bagi puasa yang tidak dapat ditunaikan di dalam bulan Ramadan?
Hukum pembayaran puasa terbahagi kepada beberapa bahagian:
1. Wajib Qadha’
· Orang yang sedang sakit dan sakitnya akan memberi mudarat kepadanya atau bertambah lambat sembuhnya jika dia berpuasa
· Orang yang meninggalkan puasa sewaktu belayar atau bermusafir kira-kira 84 km
· Ibu yang hamil atau menyusukan anak dan khuatir dirinya menjadi mudarat
· Orang yang sedang haid atau nifas
· Orang yang terlalu lapar atau dahaga yang boleh memusnahkan dirinya
· Orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya.
2. Wajib Qadha’ dan Membayar Fidyah
· Ibu yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya si ibu hanya khuatir anaknya menjadi mudarat
· Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga bertemu dengan Ramadan yang lain
3. Tidak Wajib Qadha’ Tetapi Wajib Fidyah
· Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis
· Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa
5.
Bagaimana seorang wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang akan kandungannya boleh membayar qadha' puasa tahun lalu?
Jika anda tidak mengqadha' puasa anda sehingga Ramadan tahun ini, maka anda perlu mengqadha'nya selepas Ramadan ini dan membayar fidyah, iaitu satu mud beras bagi setiap hari.
Jika pada Ramadan ini anda tidak berpuasa kerana bimbangkan kandungan anda, maka anda perlu qadha'nya selepas Ramadan ini serta membayar fidyah, iaitu satu mud beras bagi setiap hari yang anda tinggalkan. Jika anda bimbangkan tentang diri anda sendiri, maka anda hanya perlu qadha'.
6.
Wanita yang tidak puasa kerana hamil dan tidak puasa di Ramadan berikutnya kerana dalam keadaan berpantang, bolehkah membayar puasa dengan derma atau zakat?
Orang Islam yang membatalkan puasanya pada bulan Ramadan perlu mengqada' puasanya itu sebelum Ramadan yang berikutnya. Jika ia tidak melakukannya, dia wajib membayar fidyah serta mengqada'nya selepas Ramadan itu berlalu. Puasa Ramadan yang ditinggalkan tidak boleh digantikan dengan membayar zakat atau derma.
7.
Bagaimanakan cara menghitung fidyah yang perlu dibayar bagi puasa yang di tidak disempurnakan?
Untuk perkiraan fidyah yang tepat, sila rujuk kepada lelaman berikut:
https://www.muis.gov.sg/eservices/fidyah_online.aspx
8.
Haruskah saya membayar hutang puasa walaupun saya telah membayar fidyah?
Pembayaran fidyah ini tidak mengangkat tanggungjawab anda untuk menunaikan qadha’ puasa. Anda masih lagi perlu mengqadha’ puasa, selagi mampu melaksanakannya dari segi kesihatan.
9.
Bolehkah saya membayar fidyah dengan menggunakan wang?
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 184:
Maksudnya: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Fidyah adalah memberi makan seorang miskin. Dan makanan ini merujuk kepada makanan asasi bagi rakyat negara orang yang berpuasa. Dalam konteks Singapura, ia adalah beras. Maka orang Islam Singapura yang membatalkan puasa Ramadannya, perlu membayar fidyah dengan 1 mud beras bagi setiap hari. 1 mud adalah lebih kurang 750 gram.
Namun, terpulanglah kepada kita untuk membayar dengan wang atau dengan beras. Di Singapura, memang lebih mudah dan baik untuk membayar dengan wang. Ini adalah kerana wang dapat diberi kepada orang miskin untuk membeli makanan beliau. Wang juga lebih mudah dan tidak seperti beras, dimana ia memerlukan tempat yang luas untuk menyimpannya, di samping masalah ‘shelf-life’, pembungkusan, kutu, tikus, dan sebagainya.
Wang fidyah akan bertambah setiap tahun sekiranya puasa yang ditinggalkan itu belum diqadha' lagi.
10.
Bolehkah wang fidyah disalurkan kepada anak-anak yatim?
Wang fidyah adalah bagi membeli makanan bagi orang-orang miskin. Sekiranya anak-anak yatim tersebut termasuk dalam golongan orang-orang miskin, maka ia tidak mengapa. Jika mereka tidak termasuk dalam golongan miskin, maka tidak boleh salurkan wang fidyah kepada mereka.
11.
Bagaimanakah seseorang waris membayarkan hutang puasa untuk seseorang yang sudah meninggal dunia?
Jika seseorang itu meninggal dunia, tetapi masih ada hutang puasa yang belum diselesaikan, warisnya berkewajipan untuk melunaskan hutang puasa tersebut. Caranya bukanlah untuk mereka berpuasa untuk si mati itu. Tetapi menggunakan harta pusaka si mati untuk membayar fidyah bagi hari-hari bulan Ramadan yang ia tidak puasa.
12.
Jika seseorang itu belum qadha’ puasa sebelum Ramadhan yang akan datang, adakah dia perlu membayar fidyah sahaja atau membayar fidyah dan qadha’ sekali?
Fidyah harus dibayar jika seseorang itu tidak membayar puasa sebelum Ramadhan yang akan datang. Dan pembayaran tersebut harus diteruskan selagi mana qadha’ belum dilakukan. Ini adalah kerana fidyah tidak menggantikan qadha’.
Oleh itu, jika seseorang itu tidak berpuasa pada Ramadhan 2004, dan masih tidak mengqadha’nya sehingga tibanya Ramadhan 2005, dia harus membayar fidyah dan mengqadha’ puasa tersebut sebelum datangnya Ramadhan 2006. Jika masih belum qadha’ sehingga tibanya Ramadhan 2006, bayaran fidyah digandakan dan qadha’ juga harus dilakukan.
Post a Comment
3 bebelan kawanku:
Puas dah semakin dekat..nih...
Elok sangat lah perabis ganti yg man terlepas tahun lpas heheheh....
Gua penuh beb!!!!
Eh!!! Bukan sehari ker Gua ponteng?
thanks for the info eda!
hmm...kite tak tau lagi leh puasa ke tak ni.
salam..
sama la.. rasa mcm tak sempat nak berpuasa tahun ni.. mungkin tengah dlm pantang.. tapi alhamdulillah dah abis ganti puasa tahun lepas.. senang rasa hati..